Thursday, September 22, 2022

DURIAN VALLEY OUTDOOR

Salam Hormat,


Pada hari Isnin (19.09.22) saya dan isteri telah pergi ronda-ronda ke satu lokasi di daerah Jelebu. Tempat ini terletak kira 2 kilometer daripada pekan kecil bernama Chennah. Tempat ini juga tidak jauh daripada Taman Negeri Kanaboi. Saya ke sini bertujuan untuk melihat sendiri apa yang ada sambil makan-makan. Pada hari kunjungan ini kami memesan makanan western beef stake, half-done dan grass feed beef. Kami datang di sebelah petang kira jam 3, bermaknanya kami makan petang lah kali ini di sini.

Premis ini diusahakan oleh seorang bumiputra. Pada permulaan nya apa yang menjadi tarikan untuk kami ke sini adalah untuk melihat permandangan dalam daerah ini daripada paras yang agak tinggi. Untuk makluman saudara-saudari kedudukan chalet, ada tiga yang kami nampak,  pada kedudukan kira-kira 200meter tingginya dari paras jalan raya di sini. Kecuraman bukit ini pada congak saya kira-kira 45 darjah. Untuk naik ke lokasi kita di bawa naik dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda sahaja. Kereta kami di tempatkan di tepi jalan utama di bawah bukit. Berikut adalah dua gambar yang sempat saya rakam, sepanjang berada di sini.


                             Pemandangan dari ruang rehat (atas chalet penginapan)


                                   Pemandangan ke sebelaah kiri


Mungkinnya, pemandangan lagi cantik ketika di sebelah senja atau pun sewaktu matahai hendak naik di sebelah pagi. Kedudukan chalet ini memang nyaman dengan udara bersih dan senantiasa berangin. Kami di beritahu di sebelah malamnya suhu di lokasi ini turun ke 22 selsius.

Jadi bagi sesiapa yang hendak berehat dan menulis buku  atau pun duduk mencari ilham, chalet Duruan Valley Outdoor ini memang sesuai pada hemat saya. Memang mereka menanam durian, tetapi masih kecil nampaknya.


Sekian,


Dr Azizol bin Mohd Sharun(DVM, MAgrS)


Saturday, May 28, 2022

HARGA BARANG AKAN TERUS MENINGKAT

Salam hormat,

Di dalam sosial media hari ini masyarakat sibuk memperkatakan tentang kenaikan harga barangan. Ada barangan yang naik sehingga 60% daripada harga sebeum ini. Kalua diperhatikan sejak dahulu lagi, hampir semua barangan mengalami kenaikan harga, cuma kuantum, masa dan ketikanya sahaja yang berbeza. Demikianlah kedudukannya bagi semua negara di dunia ini yang berubah daripada negara miskin kepada sebuah negara yang berpendapatan tinggi.

Cuba kita perhatikan kos barangan yang serupa di negara Jepun, mislnya. Semuanya jauh lebih mahal daripada negara kita. Kerana ekonomi Jepun jauh lebih kaya. Jika Malaysia mengikuti jejak yang sama, nescaya harga barangan juga akan turut naik sama saperti di negara berkenaan.

Ramai juga di antara ahli masyarakat yang membuat pelbagai andaian serta ada yang mengeluarkan kata-kata yang kurang sihat menuduh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab atau pun tidak pandai berbuat sesuatu dan akhirnya harga barangan mendadak naik. Ramailah juga yang menyatakan rakyatlah akhirnya yang menjadi mangsa.

Pada hemat saya, kita semua sedikit sebanyak adalah penyebab kepada kenaikan ini semua. Mungkin sukar bagi anda mahu menerima kenyataan seperti ini. Tetapi buat diri saya itulah hakikatnya.

Jadi jika kita semua adalah sedikit sebanyak penyebabnya, dan accountable, maka penyelesaiannya juga sedikit sebanyak ada di dalam tangan kita semua. Saya sarankan beberapa perkara berikut, yang mana mungkin boleh mengurangkan lagi tekanan permintaan terhadap sesuatu jenis barangan, dan akhirnya akan membawa kepada kestabilan harga dan bekalan:-

 

1.   Semua orang kena kurangkan makan.

2.   Pastikan setip ahli keluarga tidak lagi membazirkan bahan makanan,

3.  Tingkatkan penabungan bagi mereka yang mampu,

4.   Berbelanja untuk keperluan sahaja, dan

5.   Menanam atau memelihara bahan makanan bagi mereka yang berkemampuan.


Dengan menuding jari kepada pihak lain tidak akan memberikan sebarang kebaikan kepada diri dan keluarga. Cuba laksanakan apa yang saya cadangkan di atas, mungkin tidak semuanya. In sha Allah aka ada kesannya. Sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk kita mengamalkan perbelanjaan yang berhemah dan berjimat cermat. Kita jangan akui sahaja kenyataan tersebut, kita kena buat atau ambil tindakan.

Kenapa saya mencadangkan supaya kita semua mengurangkan makan? Saya perhatikan hari ini terlalu ramai ahli masyarakat kita yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Sehinggakan kadar berlakunya gejala obes di kalangan masyarakat terlalu membimbangkan. Akibahnya juga kadar berlakunya penyakit kencing manis juga terus meningkat di negara kita. Scenario ini tidak lain dan dan tidak bukan adalah di sebabkan berlebihan makan yang mungkin juga tidak pula seimbang.

Sejajar dengan hasrat ini juga, marilah kita beramai-ramai dan kerap mengamalkan puasa sunat, setiap Isnin dan Khamis. Di samping ia menyihatkan badan, amalan ini juga akan dapat mengurangkan tekanan permintaan barangan tertentu apabila ramai yang melakukanya serentak.

Hari ini kita masih terdengar ungkapan beribu tan bahan makanan yang tidak dimakan dan dibuang ke tapak pelupusan sampah setiap hari. Bukankah itu semuanya wang ringgit? Apabila barang atau bahan makanan sukar di dapati sepatutnya pebaziran juga akan turut menjadi sifar. Saya percaya tidak semudah itu. Maknanya masih banyak lagi tindakan atau amalan yang mulia yang setiap individu kena lakukan. Ibu dan bapa perlu senantiasa mengajar anak-anak bagaimana amalan berjimat dan tidak membazirkan bahan makanan ini boleh di lakukan.

Gaya hidup mewah yang kerap dipaparkan dimedia sosial perlu diberhentikan, sedangkan kita tahu mereka-mereka ini jika dikaji dari sudut pendapatan tidak mampu untuk menyara gaya hidup sedemikian. Berbelanja tidak mengikut kemampuan ini bukan sahaja ia akan menjerumuskan individua atau keluarga berkenaan ke lembah kepapan, bahkan turut memberikan impak kepada tekanan permintaan barangan tertentu. Jika benar mereka ini mampu, bersederhanalah dan usahakan menabung atau membuat banyak amal jariah. Kita semua tahu bahawa kadar penabungan di kalangan masyarakat Melayu amat rendah jika di bandingkan dengan masyarakat lain yang lebih maju.

Terakhir, sebagai salah saatu usaha, mungkin tidak begitu besar impaknya ialah dengan berusaha bercucuk tanam bagi mereka yang ada ruang dan peluang. Pengalaman saya ia sedikit sebanyak boleh mengurangkan perbelanjaan. Jika ramai yang melakukannya, saya yakin tekanan permintaan terhadap sesuatu bekalan makannan itu mungkin dapat di kurangkan dan mungkin juga dapat menstabilkan harga setempat.


                                                           Saya tanam sedikit sayuran


Fikir-fikirkan..

 

Sekian,

 

Dr Azizol bin Mohd Sharun (DVM, MAgrS)


Wednesday, April 27, 2022

Friday, April 1, 2022

SELAMAT BERIBADAH DI BULAN RAMADHAN 1443

Salam hormat,

Alhamdullilah bulan Ramadhan kembali semula.

Marilah kita sama-sama menyemarakkan bulan yang mulia ini dengan menjalani ibadah PUASA serta beribadah lain sebaik dan sebanyak mungkin. Adalah di harapkan dan dengan izin Allah, kita akan sama-sama mendapat barakah serta keampunan dariNYA. In sha Allah.

Mungkin juga ada eloknya kita sama-sama saling mengingatkan betapa pentingnya kita semua berusaha membenteras pembaziran, khususnya pembaziran makanan. Perkara ini bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi marilah kita cuba. Sekurangnya kita lebih baik pada ramadhan kali ini berbanding dengan ramadhan tahun lepas, in sha Allah.

Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk memohon ribuan maaf daripada anda semua, jika terdapat salah serta silap saya sebelum ini. Mudah-mudahan kita diberikan kesihatan yang baik di sepanjang bulan yang mulia ini.

Ameeennn.


Sekian,



Dr Azizol bin Mohd Sharun (DVM, MagrS).


 

Saturday, March 5, 2022

PEPERANGAN ANTARA UKRAIN DAN RUSSIA

Salam Hormat,

Pagi hari ini saya bersarapan dengan hidangan telor rebus( ½ masak) dan ubi kayu rebus beserta kelapa parut. Sesekali makan sedap juga.

Semasa menikmati rezeki yang Allah SWT berikan itu, saya teringat betapa pentingnya ubi kayu ini sebagai sumber karbohidrat pada zaman saya kecil-kecil dahulu. Fikiran saya terus meleret kepada kesan peperangan antara Ukrain dan Rusia, yang sedang berlaku sekarang.

Saya menerangan kepada Isteri saya, kalau lah saya ada sebidang tanah, pasti saya akan tanam ubi kayu ini. Bukan kerana apa, tetapi sebagai usaha untuk memastikan keselamatan makanan keluarga saya, sekurang-kurangnya terjaga. Kita sudah mula dengar di media elektronik, bahawa gandum terutamanya akan naik harga dan mungkin berlaku kekurangan di pasaran antarabangsa. Ini adalah kerana Ukrain adalah merupakan salah satu negara pengeluar utama gandum dunia. Di tambah dengan kenaikan harga minyak, kesannya mungkin lebih hebat kepada masyarakat dunia. Saya percaya Malaysia akan turut terkesan akibah masaalah ini. 

Jadinya, apakah persiapan kita Keluarga Malaysia dalam hal ini?

Bagi sesiapa yang ada memiliki sebidang tanah, walau pun kecil, JOM KITA TANAM UBI KAYU. Mulalah sekarang. Buatlah sedikit persiapan yang sesuai, khususnya berkaitan dengan musuh utama tanaman ini.




                                                        Tanam Ubi Kayu Dan Pisang


Selepas 6 bulan, marilah kita sesekali beralih kepada makanan yang berasaskan ubi kayu ini, termasuk kuih-muih yang berkaitan. Ia bukan sahaja menyihatkan badan, bahkan boleh juga memperbaiki ekonomi keluarga. Sayur pucuk ubi ini juga merupakan bahan hijau yang amat bersih dari pencemaran.


Sekian, renung-renungkan dan AMBIL TINDAKAN.



Dr Azizol bin Mohd Sharun (DVM, MAgrS).





Sunday, February 6, 2022

AYUH MARI KITA MENTERNAK ITIK



Salam Hormat,

Biasa terlihat suasana seperti dalam gambar di atas?

Suasana ini atau seakan-akannya banyak terdapat di luar bandar dalam negara kita. Menternak itik telor adalah merupakan satu kegiatan yang sesuai di kawasan seperti ini. Saya mengajak mereka yang ada kawasan sedemikian supaya memikirkan bidangusah ini. Selain daripada mendapat bekalan telor anda juga akan dapat bekalan daging itik apabila itik-itik ini tidak lagi menghasilkan telornya.

Apabila musim perayaan tiba termasuk di bulan puasa yang akan datang tidak lama lagi, anda tidak lagi bimbang akan bekalan telor dan juga bekalan daging untuk membuat rendang. Daging itik amat sesuai untuk di masak rendang, kerana ia tidak mudah hancur.

Keperluan menternak juga tidaklah semahal mana. Lihat beberapa contoh gambar berikut yang manaa boleh di jadikan panduan.

                                             Sisa Atap Asbestos Dijadikan Penddinding Reban

                                                        Bekas Makanan Itik (plastik)

                                       Contoh Reban Itik Telor


Janganlah berfikir lama sangat, ambil tindakan.

Semoga berjaya.


Sekian,


Dr Azizol bin Mohd Sharun (DVM, MAgrS)


Thursday, February 3, 2022

TELOR AYAM TIADA DIPASARAN

Salam hormat,

Beberapa hari sebelum Tahun Baharu China sehinggalah ke hari ini, kedengaran beberapa sungutan menyatakan telor ayam tiada di merata pasaraya dan tempat. Di dalam media FB pula ramai yang menyatakan pihak pengeluar telor ayam tempatan mahu menaikkan harga komoditi tersebut.

Keadaan sebegini bukanlah suatu yang baharu. Rata-rata di seluruh dunia harga barangan keperluan terus meningkat amnya. Ini di sebabkan pelbagai faktor, yang kita para pengguna tiada kuasa untuk merubahnya.

Pada pendapat saya, sebagai pengguna, khususnya pengguna yang tingal di kampung-kampung, di rancangan-rancangan tanah seperti FELDA juga mereka yang memiliki kawasan seperti bendang, ada sedikit kuasa di dalam tangan mereka ini untuk berbuat sesuatu. Sekurangnya untuk memenuhi keperluan telor unggas ini untuk keluarga mereka sendiri. Mereka boleh bermula secara kecilan menternak ayam kampung atau pun yang lebih pandai, menternak itik telor.

Pengalaman saya mendapati, menternak ayam kampung ini bukanlah memerlukan ilmu peternakan yang hebat, jika ada kemahuan anda boleh bermula sekarang. Buat sedikit perancangan dan kajian kesesuaian, terutamanya yang melibatkan musuh ternakan ini, carilah buku panduaan mengenainya dan saya percaya maklumat ini banyak terdapat di media sosial dan internet.


                                          Menternak Ayam Kampung Cara Terkurung


                                      Pekerja Indonesia Menternak Ayam Kampung 
                                    Dalam Ladang Kelapa Sawit


Tiada gunanya kita menuding jari kepada mana-mana pihak dalam perkara ini. Ia tidak akan membantu merubah keadaan. Jika kita tidak mahu berbuat sesuatu, sedangkan kita mampu dan boleh berbuat sesuatu, maka hendaklah kita redha dengan apa yang berlaku dan jika anda berfikir anda telah di anayai oleh pihak tertentu, terima sahajalah.


Fikir-fikirkan.


Skian,



Dr Azizol bin Mohd Sharun (DVM, MagrS).